.

Followers

Friday, September 22, 2017

Sourdough cinnamon sweet bun

Assalamualaikum.

Ini percubaan pertama aku buat roti sekembalinya daripada kelas 3 bulan lepas. Lama gila. Aku punya starter pun dah keluar hooch sebab aku tak bagi makan. Aku dapat starter dalam 50g daripada kelas SD yang aku pergi tu. Aku kena bagi 'makan' dalam 4 kali sebelum aku buat roti untuk pastikan SD starter active dan tak masam sangat.

Untuk aktifkan starter, aku guna 100% hydration. Nisbah tepung:air:starter adalah sama. Jadi, untuk permulaan, 50g starter, 50g tepung gandum dan 50g air bertapis. Aku guna tepung Faiza sebab unbleached. Boleh juga guna tepung cap Lily untuk pilihan yang lebih murah. Air bertapis kat sini aku guna air Spritzer jer.

Resepi ni daripada kelas SD tapi aku derhaka sikit letak cinnamon powder sebab dah beli konon nak letak kat roti.


Bahan-bahan:
2 cawan tepung berprotein tinggi (tanpa peluntur) (250g)
1 sudu besar mentega tanpa garam
1/2 biji kuning telur
3-4 sudu besar gula tebu organik (60g)
1 sudu kecil minyak zaitun
1/2 sudu kecil garam himalaya (3g)
1/2 cawan sourdough starter (100g)
1/4 cawan air bertapis (60g)

*****
1 sudu besar yogurt/mayonis (jika mahu)
2-3 sudu serbuk kayu manis organik (jika mahu)
2-3 sudu badam cincang (jika mahu)

Cara-cara:
1. Satukan semua bahan (termasuk yogurt/mayonis) kecuali air. 
2. Masukkan air sedikit demi sedikit sehingga tekstur doh lembut dan elastik.
3. Uli sehingga kenyal. Masukkan 2-3 sudu serbuk kayu manis dan uli.
4. Timbang doh dan bahagikan kepada 16 bahagian. 
    Contoh: Jika berat doh 528g, setiap bahagian ialah 33g.
5. Bentukkan doh dan letakkan ke dalam tin pembakar yang telah disapukan mentega. 
    Campurkan 3 sudu badan cincang dan 1 sudu serbuk kayu manis.
    Sapu putih telur di atas doh dan letak kan badam diatasnya.
6. Peram sehingga doh mengganda dalam 5-8 jam (slow proofing).
7. Panaskan oven 170c-180c (bergantung kepada oven masing-masing).
8. Semburkan air atau sapuan telur dan bakar dalam masa 30-40 minit sehingga kuning keemasan.
9. Keluarkan roti, sapukan mentega/minyak zaitun dan biarkan sejuk.

Lepas keluar oven tanpa sapuan mentega/minyak zaitun

Sekian, terima kasih.


Tuesday, September 19, 2017

'Online shopping' ketika berpantang

Assalamualaikum.

Online shopping ketika dalam pantang selepas bersalin merupakan salah satu terapi bagi aku. Tak pasti untuk orang lain. Sebab nya kita dah biasa keluar, tiap-tiap minggu akan pergi hypermarket atau shopping mall. Bila dalam pantang ni mana boleh keluar, hatta ke kedai runcit. Akan tetapi ada juga ibu dalam pantang terpaksa keluar juga untuk membeli barang basah atau kering disebabkan tiada orang yang boleh diharapkan (kuat sungguh mereka).

Untuk online shopping, biasanya aku suka survey barang kat Lazada dan Shoppee. Kadang tu ada juga buka Mysale dan ezbuy. Bergantung apa yang aku nak beli dan tengok bajet jugak la. 😜

Boleh dikatakan dua hari sekali atau hari-hari akan ada penghantaran barang kat rumah ni. Oleh sebab aku duduk kat rumah mertua, kalau beli barang apa-apa, aku juga nama suami aku. Senang kalau orang kurier telefon nak tanya alamat. Lagi satu takut jiran tak kenal nama aku (hatta saudara) sebab dah pernah kena.

Kesimpulannya, berhati-hati sekiranya rumah anda ada ibu dalam pantang. Setiap hari akan ada orang bagi salam. Samada datang nak menziarah atau datang untuk hantar barang. 😁

1. Stok plastik susu EBM
2. Cooler bag baru sebab yang dah lama koyak
3. Sabun Tanamera nak sental daki

- all from Lazada -
Tambah satu lagi koleksi botol susu pura kiki.
Beli dari Babydash sebab ada promo. Siap dapat free gift lagi.
Semenjak ada 2 orang anak ni, tak cukup hanger nak sidai baju dieorang.
Kena la beli drying rack ni kat Lazada (ummi yang prihatin kan?)
Oleh kerana Luthfi asyik kacau bila aku on laptop, aku belikan la laptop mainan ni untuk dia.
(sekali lagi ummi yang prihatin) from Lazada
Sekian, terima kasih.


Non-baked chocolate cheese cake


Assalamualaikum.

Aku buat kek ni dah lama. Memandangkan aku ada beli 2kg cream cheese yang cadangnya nak buat orea cheese cake dan dalam situasi ada anak sekarang, aku nak cheese cake yang ringkas je. Semestinya coklat sebab aku suka kek coklat. Senang sangat buat cheese kek ni.

Bahan-bahan:
150g biskut Digestive (lebih kurang 8-9 keping)
45g butter - dicairkan (aku guna brand Anchor)
200g krim keju, suhu bilik (aku guna brand Tatura)
100g gula kastor (yang ni aku gantikan brown sugar)
150g coklat masakan (aku guna yang chip, senang nak timbang)
120ml whipping cream (kalau nak guna susu segar boleh je)
2tbspn serbuk koko

Tambahan:
1/2 cawan cip coklat
Serbuk koko

Cara-cara:
1. Kisar biskut Digestive (aku tumbuk sebab bila guna blender biskut tak hancur halus) dan gaulkan bersama butter yang telah dicairkan. Tekan di dalam loyang sebagai base kek dan simpan di dalam peti sejuk selama 1 jam. Untuk mengeluarkan kek daripada loyang dengan mudah, seeloknya lapik loyang dengan parchment paper.
2. Panaskan whipping cream dan masukkan coklat masakan. Gaul sehingga cair dan biarkan sejuk.
3. Pukul krim keju dan gula sehingga sebati. Masukkan serbuk koko dan bahan No. 2. Gaul hingga sebati. Masukkan cip coklat (tambahan) atau chopped chocolate ke dalam adunan. Tuang ke dalam loyang tadi dan sejukkan semalaman sebelum keluarkan daripada loyang.
4. Keluarkan cheese cake daripada loyang dengan menarik parchment paper secara perlahan. Ayak serbuk koko di atas cheese cake sebagai hiasan.


Sekian, terima kasih.

Mengenal 'Sourdough'



Assalamualaikum.

Sebenarnya aku baru kenal 'sourdough' ini atau singkatannya SD. Ia bermula apabila Luthfi ada ruam yang agak teruk (bagi aku) pada usianya 6 bulan. Tapi aku tak anggap ianya eczema sebab kalau nak dibandingkan dengan budak lain, Luthfi punya ruam macam biasa 3/10 yang mereka alami. Walau bagaimana pun aku kena juga cakna tentang ini untuk mengelakkan keadaan bertambah buruk.

Bermula dari situ aku banyak belajar benda baru. Belajar banyak benda dari segi pemakanan dan produk. Dan dari situ aku kenal apa tu SD tapi yang asas je la. Salah satu penyebab eczema ialah alahan terhadap gluten seperti yang terdapat di dalam makanan yang berasaskan tepung gandum atau barli.

Maksud 'sourdough'
Tepung yang mengandungi bakteria Lactobacili dan yis liar yang berfungsi sebagai bahan penaik (leavener), pengurai gluten atau perisa. Bakteria Lactobacili membantu dalam proses penguraian gluten dan memberikan rasa masam.

Selepas beberapa bulan, aku perasan ada iklan kelas asas SD yang akan dibuat di Klang. Memang dah cantik sangat dah sebab dekat. Sebelum ada juga kelas tu tapi dekat bangi atau ampang yang agak jauh bagi aku. Aku save poster siap2 nak mintak izin dengan Mija. Lepas aku bagitau dia, tanpa sebarang bantahan, dia pun bagi la aku pergi. Lagipun kelas tu separuh hari je. Aku ajak kawan aku sekali, Hajar tapi dia tak sihat pulak waktu hari kejadian. 

SD kit :P
Dalam besen tu ada segumpal tepung. :D rehat kejap
penat tau uli manual pakai power lengan

Demo kek labu dan cip colat SD

Hasil kelas hari ini, roti SD manis dan loaf



Sekian, terima kasih.

Nota:
Roti SD bukan la roti gluten free. Ia masih terdapat gluten yang telah diuraikan dan membantu mempercepatkan proses penghadaman. Ianya pilihan yang lebih sihat berbanding roti komersial.




Friday, March 18, 2016

Blueberry cheese tart menggunakan air fryer

Assalamualaikum...

Sebenarnya dah lama aku nak makan cheese tart ni. Sibuk dengan kerja, kelas pada hujung minggu, aku jadi tak sempat nak buat. Kalau nak beli boleh jer tapi tak puas makan nanti. 

Habis pantang je, keesokan hari nya aku buat cheese tart. Bahan-bahan memang dah sedia dah beberapa hari sebelum tu. Ini kali pertama aku buat blueberry cheese tart. Selalu aku buat chocolate cheese tart sebab memang aku 'hantu' coklat. Hehe yang paling pelik kali ni aku tak guna oven. Aku guna air fryer untuk bakar cheese tart kali ni. Aku beli air fryer jenama XMA dekat Lazada dalam harga RM200+ (tak ingat). So far okay. Takde bau hangit ke bau plastik je. Nak beli Phillips punye mahal sangat. Hehe

Asal nya aku beli air fryer ni konon nak lebih sihat. Waktu pantang takde la makan berminyak sangat. Guna air fryer je. Tapi aku makan processed food. Ntah pape la kan..


Bahan-bahan untuk kulit:
250gm butter 
4 sudu rata gula icing
4 biji kuning telur
3 sudu susu segar
2 sudu susu tepung (aku guna susu baby hihi - kalau takde pun takpe)
4 cawan tepung gandum (aku guna tepung serbaguna)
1 sudu kecil esen vanila

Bahan-bahan untuk isi:
250gm cream cheese
3 sudu rata gula icing
2 sudu butter
1 biji telur
Secukupnya jem blueberry
Sedikit hiasan

Cara-cara:
1. Pukul butter dan gula icing sehingga kembang, kemudian masukkan kuning telur.
2. Pukul sehingga rata dan masukkan esen vanila, susu segar dan susu tepung.
3. Bentukkan adunan mengikut acuan dan bakar selama 20 minit (kalau guna air fryer selama 8-10 minit untuk 160 celcius). Biarkan sejuk.
4. Untuk isi, pukul cream cheese dan gula icing sehingga kembang. Kemudian masukkan telur dan butter.
5. Masukkan cream cheese yang telah siap ke dalam piping bag untuk memudahkan. Pipe cream cheese ke dalam kulit tadi sedikit diikuti dengan jem blueberry. Kemudian pipe cream cheese semula sehingga penuh. Hiaskan cheese tart mengikut kreativiti anda.
6. Bakar semula sehingga warna kulit keemasan. Kalau guna air fryer, bakar menggunakan suhu paling rendah selama 8 minit.
7. Untuk tahan lama, buat satu lapisan nipis di bahagian dalam kulit menggunakan coklat sebelum meletakkan cream cheese.

Nota: 
Seeloknya masak jem terlebih dahulu untuk mengelakkan jem terlalu basah. Nanti bila bakar akan keluar air daripada jem tu. 

Thursday, March 17, 2016

My breastfeeding journey #1

Assalamualaikum...

Kali ni aku nak kongsi perjalanan aku dalam penyusuan bayi. Pertama sekali, aku mengaku yang aku memang takda membaca atau belajar apa-apa ilmu penyusuan sebelum bersalin. Memang aku ZERO langsung pasal penyusuan. Yang aku tau kena beli pam susu dan botol susu. Itu pun semasa beli botol susu aku baru tau tentang slow flow dan fast flow. Agaknya la fast flow. Haha terkial jugak nak beli masa tu. 

Sebelum bersalin, aku memang takda mengurut kat bidan mana-mana untuk merangsang pengeluaran susu. Aku ingat itu normal. Nanti bersalin ada la susu. Tetapi semasa aku bersalin, susu aku tak keluar lagi. Bengkak susu pun takde. Dan, aku tak tau jugak kena memulakan penyusuan selepas sahaja bersalin. Memandangkan aku bersalin kat swasta, nurse pun takde nak bising kat aku suruh susukan anak. Dieorang tanya nak topup ke dengan susu formula, aku iyakan je lah sebab takde susu lagi kan (bodoh lagi).

Aku ingat hari ke lima selepas bersalin baru la ade bengkak susu. Itu pun sikit je la ketul-ketul tu. Aku urut-urut selalu, pam jugak nak bagi pecah susu. Masa ni baby tak nak menyusu badan. Dia refuse. Aku pam dan letak kat botol. Aku cerita yang baby tak nak menyusu kat nurse kk, nurse cakap jangan tunggu baby lapar baru nak bagi. Memang betul, dah nangis lepas tu kena usaha baru dapat susu memang tak nak la dia. Logik jugak. (Masih bodoh) 

Lepas tu aku nekad nak jugak breastfeed. Tak kisah la nangis jerit-jerit ke apa. Aku selang seli botol dan direct feed. Nampak macam okay. Kadang-kadang tu siang aku bagi direct. Sampai malam baby tetibe tak nak direct. Bagi botol baru senyap. Tapi baby aku takde meragam teruk sangat. Alhamdulillah..

Kalau aku nak cuba bagi direct feed, aku duduk dalam bilik. Kunci siap-siap. Stress aku dengan orang sekeliling. Aku tau baby tak nak tapi sampai bila kalau aku tak paksa. Tambah lagi susu aku yang sikit ni, baby dah terbiasa hisap botol memang tak nak. Bila dengar baby nangis tu maksud nye aku tengah bagi direct la tu. Tapi aku dah stand by susu dalam botol untuk pujuk dia. Mak aku bukan boleh dengar baby nangis kuat-kuat. Dia cakap "sudah la tu, dia tak nak jangan paksa. Dia nak botol". Menangis jugak la sorang-sorang dalam bilik. Aku nak yang terbaik untuk anak aku, aku tengah usaha. Stress aku.

Aku ingat pesan orang, jangan stress. Aku memang cuba kawal emosi. Lepas tu lepas bersalin memang aku senang sangat mengalir air mata. Sangat sensitif.
Aku pujuk baby, cakap dengan dia. "Tolong la ummi, hisap susu ummi. Susu ummi sedap. Kalau luthfi tak nak hisap nanti ummi sakit". Aku slow talk dengan baby. Ucap terima kasih bila dia hisap. Aku rasa lama-lama dia faham. Sekarang nak kuatkan bonding tu je.

Hari-hari berikutnya makin kurang penggunaan susu formula. Ada la dua kali sehari. Yang lain direct atau susu yang dah dipam. Stok susu aku memang sikit. Alhamdulillah juga. Aku berusaha tak nak putus asa walaupun setiap kali pam dapat 1oz je. 

Aku masih ingat hari ke-20 baru la baby pandai betul direct feed. Kalau tak silap hari ke-50 baru start fully breastfeed sampai sekarang. Aku nekad susu aku cukup untuk baby. Tak kisah la berapa jam nak 'melekat' dengan aku. 

Doakan aku.

Saturday, March 12, 2016

Pengalaman Bersalin di Pusat Bersalin Barakah

Untuk bakal ibu yang berada di Lembah Klang, boleh mempertimbangkan Pusat Bersalin Barakah sebagai tempat bersalin. Pertama sekali dalam pemilihan tempat bersalin ni, aku paling ambil berat tentang doktor. Aku nak doktor perempuan. Kalau doktor tu dikenali dengan pengalamannya itu satu bonus. Di Pusat Bersalin Barakah ini hanya terdapat dua orang doktor iaitu Dr Siti Mariam dan Dr Khairiah.

Dua-dua doktor ni bagus. Kalau Dr Siti Mariam ni biasanya orang dengar kat SALAM Hospital. Kat sini pun dia ada jugak. Pada awalnya aku pilih Dr Siti, oleh sebab pada hari yang aku nak bersalin tu Dr Siti cuti, Dr Khairiah yang ganti. Dia pun okay. Peramah orangnya dan soft spoken (pernah buat check-up dengan dia sebelum ni).

Kalau sesiapa yang nak bersalin kat sini tapi buat check-up di klinik kesihatan, korang kena buat check-up at least 2 kali kat sini. Tak kisah bila. Aku buat masa 35 minggu ke atas kalau tak silap. Kalau tak, kena bayar RM100 sebagai emergency case. Sekali check-up dalam RM90 ke bawah. Kos bersalin kat sini RM1,900 (kalau tak silap) untuk bilik katil empat dan RM2,250 untuk katil seorang. Ada 1 je bilik katil sorang ni dan 4 katil lain. 

Masa aku nak bersalin, dah ada orang bersalin yang ambil bilik seorang tu. Jadi, aku kena la ambil bilik katil 4 ni. Diaorang cakap kalau ada orang lain yang bersalin, suami tak boleh tidur bermalam. (kisah pulak suami aku) Dulu aku warded kat Columbia Asia pun selamba dia tidur satu katil dengan aku. Kebetulan memang tiada orang lain, malam tu pun dia teman aku tidur kat sana.

Lagi satu yang best tentang Pusat Bersalin Barakah ni, ia berkonsepkan islamik tapi ada jer non-muslim datang buat check-up kat sini. Semua jururawat perempuan beragama islam. Doktor pun perempuan. Kiranya takda la risau pasal aurat ni. Masa aku nak dipindahkan dari bilik bersalin ke katil, kena lalu lorong kat klinik tu. Jururawat suruh aku pakai tudung sebab ada cctv. 

Lokasinya senang jer. Dari highway KESAS, exit Bandar Puteri. Nampak deretan kedai kat sebelah stesen minyak tu, kat situ la. Parking pun takde lah susah mana. 

Untuk pengetahuan korang, makanan tidak disediakan. Kalau nak makan bubur ke nasi ke, minta lah mak korang bawak dari rumah. Tak pun suruh la suami pergi beli bubur kat McD sebelah stesen minyak tu. Lepas bersalin tu ada lah jururawat bagi air coklat panas dengan biskut kering/jagung setiap kali kena makan ubat.

Bilik bersalin pula hanya ada satu. Jadi kalau ada beberapa orang yang hendak bersalin, ikut lah turn ye. Dah bersalin terus kena pindah ke katil. Macam aku takda orang selepas aku dan aku memang kena rehat selama 1 jam atas nasihat doktor sementara glucose habis sebab ada komplikasi yang kecil. Tapi ada bilik rawatan sebenarnya. Jururawat cakap, kalau keadaan memaksa diaorang akan guna bilik tu sebagai labour room. Jadi, jangan lah khuatir sangat, hehe

Paling seriau bab jahit-menjahit ni. Aku punya koyak second tier degree. Tapi jujur aku cakap, aku takda rasa sakit langsung. Serius! Ngilu nak kencing ke nak buang air besar ke takde. Lepas bersalin tu aku siap buang air besar semua. Takde takut-takut jahitan tetas ke apa. Aku jalan macam orang biasa sampai orang yang melawat aku pun pelik tengok aku jalan laju. Alhamdulillah... benda yang aku paling takut telah dimudahkan. Aku share dengan Dr Khairiah, dia pun bersyukur aku tak rasa sakit. Yelah, sesetengah orang kan sampai tak boleh jalan. Sakit sangat. Salah satu sebab aku punya kotak garis lurus. Yang koyak bentuk 'L' tu yang sakit (bidan cakap).

Sekian.


Perlu ke nursing pillow?

Semenjak aku tekad nak fully breastfeed ni, aku selalu sakit belakang. Aku ada jugak amek ostematrik sebelum tidur.
Tapi kadang-kadang lupa nak makan. Jadinya, aku kerap sakit belakang. Lagi-lagi bahagian belikat tu. Sungguh! Kalau suruh husband aku urut, memang sakit tapi sedap. Rasa nak suruh urut lama-lama tapi kesian pulak dia penat. 

Salah satu sebab aku sakit belakang, aku tak menyandar semasa menyusukan baby. Tak sendal apa-apa pun. Kalau 1 jam dia menyusu, 1 jam la aku duduk. Tak tahan sangat aku menyusukan sambil baring mengiring pulak. Tak pun sendal bawah tangan aku sengan bantal. Boleh rehat sekejap tangan tu sebab gendong baby.

Akhirnya aku buat keputusan untuk beli nursing pillow. Aku malas nak cari atau scroll instagram. Alternative, aku cari je kat Lazada. Semenjak dua menjak ni memang aku suami isteri suka sangat beli barang kat Lazada. Harga pun boleh tahan. 

Selepas guna nursing pillow ni, kurang sikit sakit belakang sebab takde dah nak pegang baby. Letak je kat nursing pillow tu. Baby pun selesa sampai tertidur. Kalau dialihkan, terjaga pulak. 😅 Memula nak guna tu agak struggle sikit sebab tak tau nak letak baby position mcm mana. Nanti baby tercepit antara bantal dengan badan aku. Kesian aku tengok. Aku alihkan je sampai dia pun tak selesa, menangis. Lama-kelamaan aku pun dah pandai guna nursing pillow ni. Takda la dia tercepit kat tengah-tengah. Hehe

Thursday, March 10, 2016

Welcome my little one

Alhamdulillah, aku selamat melahirkan baby boy pada maulidur rasul 2015 bersamaan 24 Disember 2015. Kebetulan hari tu memang cuti (office bagi). Bangun subuh macam biasa. Takde apa yang pelik. Lepas tu mandi. Aku memang suka mandi awal. Tak kisah la hari bekerja atau hari cuti. Sebab tu aku rasa mendidih je bila tengok orang bangun lambat.

Dalam pukul 8 macam tu aku rasa  macam hendak buang air besar. Lepas tu aku nampak spot darah kat pantyliner (amat digalakkan pakai semasa mengandung). Lepas tu aku cool lagi. Dah masa nye ke? Hari ni ke? Untuk pengetahuan semua, aku memang takda rasa contraction pun. Sakit senak2 biasa je. Nurse cakap bukan contraction pun. 

Lepas masuk bilik aku duduk kejap kat katil. Dilemma nak bagitau husband sebab dia ada job aircond hari tu. Tapi takut pulak apa-apa jadi. Aku kejut dia. Aku tunjuk pantyliner. Aku cakap 'u, ada ni'. Terus dia bangun pergi mandi dan ajak ke klinik. Untuk bersalin pertama kali ni, aku sangat memerlukan suami disisi sebab tu aku pilih bersalin di swasta. Aku pilih Pusat Bersalin Barakah di Bandar Puteri, Klang. Doktor yang aku pilih doktor Siti Mariam. Dia juga doktor di Salam Hospital, Shah Alam.

Sampai kat klinik, nurse check bukaan bawah. First time kena seluk. Aku tanya nurse sakit tak, nanti keluar darah tak. Dia layankan aje aku ni. Haha lepas check dia cakap dah bukak 3cm. Oleh sebab doktor Siti cuti, doktor Khairiah yang take over. Dia cakap boleh warded dah. Masa tu pukul 10 pagi. Belum sarapan pun. Aku cakap ngan nurse nak keluar makan. Nurse pun bagi sebab nak bersalin kena guna tenaga. Kena makan dulu.

Keluar klinik kami terus ke Meru. Nak ambil mama. Sebelum tu singgah Giant Klang Sentral kejap. Makan kat pakli. Dapat la makan nasi ayam lemon sebelum berpantang. Haha lepas tu ambil mama dan terus ke klinik (Beg bersalin memang dah standby dalam kereta). Aku sampai kat klinik tu dalam pukul 3 petang. Check bukaan lagi. Baru 4cm. Sepanjang masa dari pagi tu aku tak rasa sakit pun. Jalan macam biasa. Nurse pun cakap yang tak sangka aku yang nak bersalin. Jalan macam biasa je. 

setia menemani
Lepas tu aku disuruh tukar baju bersalin dan baring la dalam labour room sebab nurse nak pasang CTG. Nak pantau contraction. Ada la sikit-sikit. Tu pun nurse cakap itu la contraction. Aku ingat senak biasa. Sekejap je rasa. Orang cakap kena monitor contraction. Masalah aku ni aku tak tau contraction tu macam mana. Memang tak monitor la.

Lepas tu nurse bagi induce dan antibiotik. Air ketuban aku dah keluar sikit-sikit dalam 3 hari macam tu. Tapi aku tak cakap kat sesiapa sebab mana la aku pasti yang tu air ketuban. Dalam pukul 5 macam tu bukaan sudah 8cm. Masa ni baru aku rasa sakit. Aku rasa sakit je aku peluk husband aku. Nurse suruh mengiring untuk hold rasa nak meneran sementara tunggu doktor. Dalam 15 minit kot, doktor sampai dan prepare untuk sambut baby. Dalam hati aku, ni ke masa nye? Haha macam tak percaya.

Lepas tu doktor terangkan la macam mana nak teran. Bila rasa sakit tu tarik nafas dan tahan. Lepas tu teran macam orang sembelit. Nurse dan doktor pun bagi semangat la kat aku. "Okay puan, teran macam sembelit." "Lagi puan, boleh2" "good job puan, teran lagi" aku teran pertama kali. Nafas tak sampai. Teran kedua kali pun nafas tak sampai. Lepas tu aku cakap sakit nye kejap sangat. Aku rasa contraction tu tak sampai seminit pun. Kejap sangat. Teran kali ketiga aku rasa macam nak keluarkan sesuatu tapi tak boleh. Rasa nak give up tu ade. Tapi kena kuat untuk baby. Teran kali ke empat. Doktor dan nurse bersorak sikit. Lepas tu suruh aku sambung teran. Eh, belum ke? Aku rasa macam dah keluar je. Belum lagi ke? Rupanya baru kepala baby. Aku pun tarik nafas dan sambung teran walaupun takda rasa contraction. Aku tekad nak keluarkan baby. Aku teran sekuat hati dan rasa macam kena hempap dan isi perut ditarik. Sekelip mata je. Masa tu aku pejam mata. Rasa bergegar badan aku. Alhamdulillah, selamat.. Pukul 6:06 baby lahir.

Baby belum nangis lagi. Selepas dibersihkan lendir baru baby menangis. Aku nampak sipi-sipi je. Sepanjang tu suami aku tak lepas peluk dan bagi kata semangat kat telinga. Lepas tu aku rasa semacam. Nak pitam. Aku cakap. Aku nak pitam. Doktor terus check anak mata. Aku sedar masa tu tapi tak larat nak buat pape. Pandang lampu kat siling je. Tak mampu nak toleh kanan kiri. Darah keluar banyak. Masa tu doktor tengah nak jahit. Cucuk ubat tahan sakit 2 kali. Aku angguk je. Tapi sungguh aku takde perasaan sangat dah. Lemah je rasa. Lepas tu doktor berhenti. Aku rasa dia seluk dan darah keluar banyak. Aku boleh rasa.

Kena cucuk kat peha 1. Try sambung jahit lagi. Lepas tu, keluar darah lagi. Doktor arahkan nurse cucuk kat peha lagi. Sambung jahit lagi. Again, keluar darah lagi. Nurse cucuk lagi kat peha aku. Lepas tu aku dengar doktor cakap kat suami kalau berterusan macam ni aku kena masuk darah. Lepas cucuk kali ketiga baru ubat bertindak balas dan jahitan dapat disempurnakan. Lepas tu doktor cucuk kat tangan untuk masuk kan glucose. Tu pun aku tak sedar sangat bila dia cucuk. Haha 

Berehat la aku kat labour room tanpa gerak selama 1 jam. Nurse letak kan baby sekejap kat dada aku masa aku kena jahit. Tapi aku macam sedar tak sedar. Aku pun tak mulakan breastfeed pun. Aku lupa semuanya. Tengah berehat tu ada nurse kemas-kemas. Mop lantai semua. Aku cuak betul. Sempat tanya banyak ke darah kat lantai. Aku ni imagine dah macam-macam dah. Dia senyum je. Takde la banyak katanya. Aku lega. Tapi sebab aku terbaringkan, aku tak nampak la lantai tu. 

Dalam keadaan yang kelam kabut masa darah tak berhenti tu, suami temankan baby. Aku nampak. Baby menangis. Suami pegang tangan baby baru dia diam. Lepas tu dia main2 ngan baby. Aku tak nampak pun muka baby lagi. Masa tengah berehat kat labour room tu aku mintak husband snap gambar. Aku nak tengok baby, tapi dia tak kasi snap. End up aku takde pun gambar muka baby baru lahir walaupun untuk simpanan sendiri. 

Tak nampak muka pun

Selepas satu jam, aku disorong ke katil. Nurse yang pakai kan pad. Lepas rasa dah okay sikit aku nak kencing. Gagah berjalan nak kencing. Nak kencing ni tapi takut sakit. Kencing je la. Buang air besar sekali. Tak rasa sakit pun. Lepas tu nak tukar pad. Baru aku perasab nurse pakaikan 3 pad kat aku. Semua penuh. Kuat kan hati je tengok. Semua okay, pujuk hati. Oleh sebab aku ada minor problem, aku kena tunggu 24 jam baru boleh balik. Sepanjang tempoh tu nurse akan datang nak tengok pad. Urut perut keluarkan darah. Alhamdulillah, semakin berkurangan.

Aku dapat tau salah satu sebab kenapa aku boleh tumpah darah sebab aku ada talasemia. Hb aku rendah. Darah cair. So, doktor nasihatkan kalau nak mengandung lagi make sure betul2 sihat dan hb kena okay. Sebab benda yang sama akan jadi kalau aku bersalin kelak.

Tuesday, July 14, 2015

Kuih raya paling mudah dan ringkas

Assalamualaikum..

Memandangkan aku ni seorang isteri yang bekerja dan mummy-to-be, perasaan malas tu memang membuak-buak. Tapi itu tak menghalang mood raya aku yang tinggi tiap kali raya. Nak buat jugak kuih walaupun tak berapa nak rajin. Gigih beli barang mesti kena buat jugak kan. (Tahun lepas banyak sangat membazir barang kuih yang tak buat sampai expired).

Cornflakes bersalut coklat
Bagi aku kuih raya diatas paling mudah sebab tak perlu nak masak guna oven. Cairkan coklat, campurkan badan dan cornflakes, letak dalam corong. Siap! 

Bahan-bahan:
500gm cornflakes
750gm coklat masakan Beryl's
2 cawan badam kisar/potong
corong kertas
sprinkle (perhiasan)

Tips:
- Buat di dalam bilik yang ber-aircond untuk mempercepat coklat kering.
- Coklat masakan milk compound sebab dah sedap dah.


Sekian.

Monday, July 6, 2015

Pengalaman pertama berpuasa sebagai ibu mengandung

Assalamualaikum...


Rasanya aku belum lagi kongsi berita yang aku mengandung. Yang tau pada awal nya husband je. Oleh kerana aku tinggal di rumah mertua pada waktu itu, mertua pun perasan yang aku macam dah lain je. Tapi kami tak dedahkan lagi. Beberapa hari selepas tu baru bagitau family. Lepas tu aku bagitau dekat instagram. So, ada lah yang tau ada yang tau. Tak kan la update kat FB, segan. Ramai sangat orang kat situ.

Aku memang baik takde mengalami morning sickness. Tapi tak kira la pagi, petang, siang atau malam, asal aku rasa lain macam je memang muntah. Selera makan memang membuak-buak. Every 3 or 4 hours, I will feel hungry and need something to munch. Cuma, aku takda selera nak makan nasi. Macam dah jemu, macam muak tengok nasi tu.

Untuk bulan puasa kali ini, alhamdulillah, masih berpuasa penuh. Takda rasa lapar sehingga tidak keruan macam selalu. Cuma, dalam sekitar pukul 7 tu aku rasa loya. Memang nak muntah tapi takda apa yang nak dimuntahkan. Muntah air je. Memang kena standby plastik dalam kereta atau dalam beg. Sebab perasaan nak muntah tu tiba-tiba datang. Pernah aku tadah guna tudung je sebab terlalu mengejut. Tahan je la sampai rumah. Nasib muntah air je. Takda bau sangat pun.

Semalam mija saja nak jalan-jalan. Lepas pergi Plaza Alam Sentral beli bunga, kami terus ke Jusco Bukit Raja. Ada la jugak belek-belek skirt. Dia cakap kalau nak ambik. Memang tak lah aku nak ambik. I'm not that kind of women. Lepas tu kena bebel, Tak salah nak mintak, Cuba la nak beli ni. Nak beli tu. Bukan salah pun. :) At last, aku beli seluar and skirt panjang untuk pregnant mummy. Dia bebel jangan pakai seluar ketat lagi dah. Seluar jeans lama dah aku tak pakai. Tak muat. :(

Semoga anak umi baik-baik aje dalam perut.


Monday, May 25, 2015

Jatuh di Pangkor Island

Pada awal tahun ini, aku dan mija pergi ke Pulau Pangkor. Memandangkan hari jadi mija jatuh pada 1 January, kira nya vacation ni untuk menyambut hari jadi dia yang pertama kali sebagai suami dan isteri. Selepas kami berkahwin pada bulan Oktober tahun lepas, memang jadual kami memang padat. Aku dengan kelas sabtu dan ahad, exam on December dan mija pun ada kerja luar kawasan. Memang kami tidak merancang pun pergi berbulan madu. Sebab kami memang suka buat kerja bukan-bukan. Suka rancang last minute. haha

Untuk percutian ke Pangkor, kami ambil masa 3 hari 2 malam. Isi minyak RM5 pun tak habis untuk pusing satu pulau. Memang tak ke mana sangat pun. Bukan besar pun kan Pangkor tu. Sebab tak tahu dah nak buat apa, dua hari berturut aku pergi snorkeling. Kami stay di Teluk Nipah. Untuk snorkeling kalau dari Teluk Nipah memang murah sikit. Hari first dapat RM10 seorang. Second time brader tu mintak RM15 sorang. Alasan kami berdua je. Erm..

Bukan pertama kali snorkeling ni. Banyak kali dah pergi Pangkor dan snorkeling sekali. Cuma nasib tak baik pada kali ni. Waktu tu aku berdiri atas batu dengan memakai selipar biasa je. Mija sudah kat dalam air laut dah. Oleh kerana permukaan batu yang licin, aku pun nak duduk atas batu je. Bajet nak mengengsot ke dalam air. Sedang aku dalam position berdiri nak duduk, terus jatuh terduduk. Terhempas tulang pinggul aku kat atas batu. Terus terdiam aku. Air mata mengalir dari mata. Sakit tak tau nak cakap. Mija terus mendapatkan aku dan bantu aku masuk ke dalam air.

Mija tanya okay ke tak. Aku jawab okay. Sakit sikit. Memang sakit sikit pun. Balik ke hotel malam tu, ambik kau. Setiap perlakuan aku terbatas. Nak bangun sakit. Nak baring sakit. Nak jalan sakit. Still tahan lagi sebab tak nak mematahkan mood untuk bersantai bersama suami kan. Lagipun aku tak nak la kerap sangat mengadu sakit, nanti mija fikir aku mengada-ngada. hihi (betul ke?) Keesokan hari, aku pergi snorkeling lagi (dengan berhati-hati) dan ronda satu pulau. Biasa je, sakit tu sakit. Mujur mija faham. Dia pun jalan perlahan je, bawa motor tu perlahan je bila ada bonggol atau lopak atas jalan.

Sampai rumah, masuk bilik, baring. Dan terus baring. Sakit dan sangat sakit. Sampai menangis. Esok nya, aku ambil keputusan untuk ambil medical leave je. Memberanikan diri pergi Columbia Asia Hospital - Bukit Rimau untuk buat check-up takut kalau ada masalah yang serius sebab memang aku sakit belakang dah lama. Sekali jalan la kan. Habis check, x-tray dan jumpa doktor, aku kena admit masuk wad. Alhamdulillah sebab ada insurance company, semua perbelanjaan ditanggung company.

Mujur tiada sebarang kecederaan lain, aku dikehendaki menjalani fisioterapi untuk tulang belakang. Mungkin tak teruk atau sememangnya sebegitu, fisioterapi yang aku dapat ni macam kejutan elektrik kat kawasan tulang punggung dan tulang belakang yang sakit. Aku tak tau apa nama alat ini. Tapi yang ada pad dan ditampal kat badan. So, boleh rasa getaran elektrik. Lebih kurang macam tu. Selain tu, aku diajar beberapa senaman untuk aku amalkan.

Sekarang, kadang-kadang tempat aku jatuh tu still sakit. Macam sekarang. Harap kan mija je urutkan sikit-sikit. Sebenarnya aku tak pergi urut tradisional pun selepas tu. Cuma baru-baru ini, aku ada urut jugak la kat Bandung. Tu je. Memang takda urut apa-apa lagi. Menyesal jugak sekarang. Degil aku ni. Lambat sangat nak pergi urut. Kadang-kadang sakit tu datang balik. Fisioterapi tu macam nak kurangkan sakit aku je mungkin. Tak pulih sepenuhnya pun. :(

Walau bagaimana pun,

1- Terima kasih buat suami tercinta yang teman kan aku setiap malam di hospital. Kalau ikutkan tak boleh lelaki temankan, tapi nurse pun tak halang. Kami tidur sama satu katil sampai nurse bingung mana satu pesakit. :p

2- Terima kasih buat Dr. Harjeet Singh yang merawat aku. Very friendly in person dan murah dengan senyuman. Got sence of humor. Banyak nasihat yang dia bagi dan since aku masih muda, dia suruh aku jaga kesihatan dan kurangkan aktiviti lasak. (Misi kinabalu pun cancel dah)

3- Terima kasih buat ahli fisioterapi aku Jessy Choo yang membantu aku. Sudi mendengar cerita aku. Jawab soalan aku yang banyak tanya ni. hehe


Sekian.
Aku mahu sihat.

Monday, December 22, 2014

Wishlist - Vacation

Pernah baca tentang 45Lekiu?

45Lekiu
Salah satu tempat yang menarik untuk honeymoon, tenangkan fikiran atau untuk bercuti bersama keluarga. Aku ada terpandang 45Lekiu nie dalam entry yang orang share dalam Facebook. Terus jatuh cinta. Terus rasa nak pergi. Tapi tiada rezeki buat masa ini.

45Lekiu ni terletak kat Melaka. Memang kat bandar Melaka berhampiran dengan Jonker Walk. Sebab ada private pool tu yang aku berkenan sangat. Boleh mandi dengan husband tanpa rasa segan silu. haha. Dekorasi yang moden dan klasik dengan bercirikan kemewahan. Boleh request tak untuk ANNIVERSARY???? 

Aku memang suka hotel/resort/guesthouse yang berkonsepkan macam ini. Ala-ala twilight katanya. Suram-suram sikit. Kalau aku la kan, sehari suntuk tak nak keluar bilik. Setiap sudut aku nak ambil gambar. Menikmati sangat katanya. Pasal dah bayar mahal. Mahal macam mane? boleh check sendiri kat laman web. Tak nak cakap. haha kalau rajin check kat Agoda. Itu pun memanjang booked.

Untuk bakal pengantin yang merancang untuk berbulan madu dalam negara dan nak feeling macam dalam filem, boleh buat tempahan ye. Lepas tu share experience korang dan buat aku bertambah cemburu kat korang. 

The Stable
Opposite Place

Boleh cuci mata dan pasang niat dulu:
Opposite Place - http://opposite-place.com/


Tuesday, December 16, 2014

December 2014

Assalamualaikum...

Aku telah diberi kesempatan untuk 'clean-up' blog ini daripada kisah silam. Sebenarnya aku teringat tunang aku pernah cakap 'Bila nak bersihkan blog?'. Dia cakap perlahan jer sampai aku suruh ulang balik tapi dia tak nak. Lebih kurang la soalan nya. Aku biarkan je soalan dia tergantung kat situ.

Aku tau dia orang kedua yang faham aku selepas diri aku sendiri. Aku pun faham dia sangat penyabar orangnya (tapi jangan diuji). Dia tak ada pun nak bising-bising atau paksa aku buat semua ini. That's why I love you sayang. Muahhh ciked

Usia perkahwinan kami baru je dua bulan. Masih baru. Masih banyak yang kena belajar. Aku juga sedikit demi sedikit berubah untuk dia. Perjalanan kita masih panjang insyaAllah. Sebenarnya aku teringin nak update daripada sebelum kahwin lagi. Disebabkan kerja dan belajar sambilan, aku sibuk sikit. Ditambah lagi sejak ada instagram ni, kat situ je la aku update.

Tak kira! Aku nak share jugak pasal majlis kawin aku.
Tapi bila nak update tu susah nak cakap. :)

Aku bahagia sekarang. Aku punya cinta yang utuh daripada seorang lelaki.
Aku tak akan pandang ke belakang lagi. Aku akan terus melangkah ke hadapan.
Melangkah ke jalan yang aku pilih. Dapatkan apa yang aku inginkan.
InsyaAllah. Rezeki Allah tu luas.

Tuesday, December 3, 2013

Berbelanja untuk keperluan rumah

Walaupun aku masih bujang tetapi berbelanja untuk keperluan rumah setiap bulan memang wajib. Nak cakap keperluan rumah tu takde lah sangat. Lebih macam keperluan diri sendiri je. Haha sorang je dah habis beratus. Aku rasa orang lain pun macam tu jugak. 

Tengah aku berjalan-jalan menyorong troli di pasar raya besar, aku terfikir kalau aku dah berumah tangga nanti bagaimana pulak. Mesti penuh troli. Even kalau aku berbelanja dengan mija sekalipun boleh penuh troli tu. Dia pun macam 2x5 je dengan aku. Cuma boleh dikawal lagi la. 

Sebab apa kalau perempuan berbelanja selalunye lebih? Menurut pengalaman aku la kan:
1. 'eh mija ada suruh aku masakkan getah paip (makaroni). Baik aku beli bahan-bahannya'.
2. '3in1 hazelnut coffee dia dah habis pulak kat rumah. Nanti kesian pulak aku buatkan air lain yang die tak suka' - mengade!
3. 'jajan mama ape pulak ye. Haaa belikan biskut la'.
4. 'rasanya sabun basuh baju ada lagi. Tapi ni murah ni. Ada promosi. Alah, beli je lah buat stok. Sabun bukan basi pun'.
5. 'cuti lama kat rumah takde kunyah2 tak best pulak. Beli jajan lebih sikit la bulan ni'.
6. 'haaa nak try resepi yang hari tu tengok kat internet la. Jom beli bahan-bahan nye!'.
7. 'cantik nye free gift die. Nak! Nak! Tapi kena beli 2 la. Takpelah, boleh buat stok. Bukan selalu ada bagi free gift2 ni'.

Banyak lagi pengalaman aku ketika berbelanja. Ni pengalaman orang bujang tau. Hahaha teruk la rasa nya beli dah bekeluarga. Aku harap suami aku akan beli barang keperluan semua ni. Aku cuma beli mana yang takde buat tambah2 je. Nanti ada aje yang tak cukup. Pulak dah!

Sebagai perempuan ni kalau dia nak beli barang, dia ingat tiap orang kat rumah. Ni jenis macam aku la. Ada jugak jenis buat lepas diri sendiri je. Tu aku tak nak komen panjang la. Sebabnya kita fikir pasal anak kita nak makan itu, suami kita nak makan itu. Belum mak mentua, mak sendiri, adik-beradik. Apa2 pun yang penting, ikut lah kemampuan. 

Tuesday, November 19, 2013

Kisah detox clenx tea

Mungkin ada mereka yang di kalangan kita mengalami masalah sukar membuang air besar. Mungkin disebabkan faktor pemakanan atau yang lain. Aku tak pasti. Tetapi aku bukan lah salah seorang daripada mereka. Aku memang dikategorikan 'agak senang' untuk buang air besar.

Hey, bukan aku nak tulis pasal berak je. Hahaha aku nak kongsi produk dari NH Detoxlim iaitu natural Clenx Tea. Ianya teh untuk membantu korang membuang air besar. Aku dah try dalam 3 bulan. Tapi on off la. Tak selalu sebab aku masa tu aku kerja naik ktm. Susah. Sebab?

Bila minum teh ni, kesan akan dirasai selepas 8-10 jam. Pernah aku minum tersasar dari jadual aku. Naik ktm kena berhenti di stesen Subang Jaya semata nak pergi tandas. Akhirnya aku lewat ke tempat kerja. Nasib baik ada tandas. Sesetengah stesen ktm tu letak tandas 'angkut' je. Portable toilet. Tak ke haru kalau keadaan dimana kamu tiada pilihan. Haha

Tujuan aku minum teh ni bukan untuk kuruskan badan walaupun dikotaknya afa menyatakan untuk menurunkan berat badan. Pada asalnya aku nak detox la. Nak buang toksik dalam badan. Masa tu tengah tinjau2 produk kat Guardian. Aku tengok ada teh ni so, aku beli la memandangkan harga nya pun tidak lah mahal.

Lepas lunch or dinner aku ambil 1 paket. Kalau untuk turunkan berat badan boleh ambil 2 paket sehari. Aku tak pernah cuba sebab bagi aku 1 je dah cukup. Rasanya? Aku suka. Aku memang dah biasa minum teh hijau atau teh cina. Untuk clenx tea ni, bagi aku not bad. Baunya harum macam bau inai. Tak perlu tambah gula. Minum suam2 pun sedap dah.

Setiap orang kesannya berbeza. Untuk pertama kali hingga ke tiga. Mungkin akan berulang ke tandas beberapa kali sebab toksik tengah banyak mungkin. Selepas tu sekali je dah. Sakit perut dia memang sakit la. Tapi bila korang 'berak'kan je okay dah. Haha

Tetapi, tunang dan kakak aku tak macam tu. Diaorang minum tapi dah lepas 12 jam masih tak sakit perut pun. Tau2 esok baru sakit perut dan nak membuang. Haa yang ni aku tak tau kenapa. Lain pulak effect dia. Hehe

Yang penting, perut baik, berak hari2, senang hati.

Berat badan? Maintain je. Haha

Tuesday, November 12, 2013

Hello audit life

 
 
 Assalamualaikum...
 
Hari ni aku dah start buat audit balik selepas dua bulan dipindahkan ke tax department. Jangan lah rasa yang aku ni awesome sangat dapat pindah ke tax department sebab aku tak sentuh pun sebarang aktiviti yang berkaitan dengan tax computation. Yang aku buat tax estimate, eFiling, buat letter to client, letter to IRB, request file, hantar surat dan macam-macam lagi. Cuci tandas je aku tak buat masa tu. :P
 
Berbalik kepada cerita aku yang tadi, hari ni memang first time aku pergi client office. semalam tak datang ada PGL kat office lepas tu manager marah-marah sebab dia tak dapat tahu yang aku tak datang. Aku gerak dari rumah dalam pukul 6:10 pagi. Korang tengah buat ape masa tu? hehe Sebab lokasi client di Bangsar dan dijangka akan mengalami kesesakan lalu lintas.
 
Pukul 6:30 pagi di Lebuhraya Persekutuan dah bergerak perlahan. Aku rasa dieorang pun bangun saing-saing aku bangun agaknya dalam 5:30 pagi. Akhirnya aku sampai di tempat letak kenderaan tingkat 14 pada pukul 6:55 pagi. Agak awal disitu dan memandangkan awal kan, aku stay dalam kereta tidur sekejap. An effective nap gitu.
 
Dari pagi client in charge takda. So, aku tak boleh buat banyak kerja lah dan yang paling tak best seronok, discussion room yang kami duduk ni sangat la sejuk. Untuk mengatasi kesejukan itu, aku taip entry ni sementara tunggu client back in his place. Tadi ade lepas tu pergi mana ntah.
 
Selamat bekerja dan menunggu 5:30 petang untuk pulang!!

 
 

Friday, November 8, 2013

Skipping and yoga

Sedia maklum yang berat badan pun semakin bertambah-tambah semenjak aku meninggal zaman universiti. Siapa cakap zaman 'u' ni paling best? buktinye lepas aku habis belajar je berat aku naik. Tambah-tambah kalau duduk rumah je tak cari kerja. Tapi aku duduk rumah 2 minggu je. Lepas tu dapat kerja dah. Cuma yelah.. Bila bekerja ni saat yang korang tunggu ialah lunch hour and habis waktu bekerja.
 
Nak-nak lagi officemates ajak makan sana la sini la. Masa kerja ni nak skip makan susah. Bila kita tak nak keluar makan nanti ada je yang mengajak.. 'jom lah..takpe, kerja tu nanti-nanti boleh buat. makan dulu'. Mengajak untuk gemuk bersama. Tetapi ada jugak yang cakap 'eleh, diet la tu tak nak makan tak nak makan ni'. Heee betul tak? Cabaran dan dugaan tu besar.
 
Aku sebenarnya suka tengok orang berlari atau marathon. Macam nak join je. Tapi tak terdaya. Malas tu mengalahkan nafsu. Kadang-kadang bukan disebabkan malas tapi sebab takda masa. Sekarang ni aku kerja balik tak menentu, hujung minggu ada kelas. Hari ahad memanfaatkan masa duduk rumah berehat ataupu keluar berjalan. Memang pack!
 
Dengan baki kesedaran sivik yang aku ada ni, aku menjinak-jinak kan diri aku kembali main jumping rope atau pun skipping. Aku buat takda lah banyak mana, lepas balik kerja je aku peruntukkan 30 minit untuk buat skipping. Aku suka jugak skipping ni. Best! macam mengenang kembali main lompat getah waktu kecik-kecik dulu. hehe
 
Untuk permulaan ni aku buat 500 kali je. Itu pun tercungap-cungap dah. Aku akan tambah 100 sehari until maksimum 1,000. Takda pun sampai 30 minit. Selebihnya aku cooling down and buat simple streching a.k.a. yoga.Takda lah aku buat yoga tunggang terbalik lipat-lipat tu. Simple je. Untuk streching badan aku.
 
Aku ada masalah lower back pain. Kerap sangat sakit. Aku tak boleh berdiri atau duduk terlalu lama. Sakit sungguh kat pinggang tu. So, aku try yoga for back pain. Aku apply pose yang biasa2 dan senang. Melegakan.. Sungguh...
 
 
 
p/s: kalau boleh pecahkan lemak lagi bagus.

Saya kembali semula!

Assalamualaikum..
 
Pada hari ini iaitu 8 November 2013, aku telah buka blog aku kembali pada umum. Haha Tak tau kenapa cuma aku rasa cinta nak mengetuk-ngetuk papan kekunci aku. Betul kan? keyboard tu papan kekunci kan? Aku main taip jer.Lama kot aku tinggalkan blog ni. Kalau tak salah semalam aku check last post yang aku published ada la tahun 2012. Sekarang tahun 2013. Eh, takde la lama sangat kan. Tapi serius weh, aku rasa lama dah.
 
Within a year, macam-macam dah berlaku. Nak tau??
  • Aku dah graduate dan memegang segulung Sarjana Muda Perakaunan (Kepujian) dari UiTM.
  • Aku dah bekerja di sebuah audit firm ternama di Malaysia.
  • Aku dah beli kereta. takde niat nak show off pun.
  • Aku dah bergelar TUNANGAN orang.
Sebenarnye ada banyak lagi tapi buat masa sekarang ni tu je yang aku ingat. Aku berjanji aku akan cuba update blog aku yang cambest ni seberapa kerap selepas ni. *tergediks*. Sempena pembukaan kembali blog aku, hehehe, elok la aku blogwalking.
 

Friday, February 10, 2012

Kalau takda buat cara takda

Macam biasa, aku buat entry nie sebab nak meluahkan rasa. Meluahkan rasa tidak puas hati aku. Soal nya KALAU TAKDA BUAT CARA TAKDA. Sebab apa aku cakap macam tu...? Sebab aku tak puas hati kepada sesiapa yang berkelakuan macam tu. Yeah, kena batang hidung sendiri. Mula-mula okey lah, boleh diam lagi. Tapi lama-lama..? Melampau lah kan.


Aku sakit hati tau. Aku tak suka orang guna barang aku tanpa izin aku. Memang aku tak suka. Dan aku pun memang tak suka sangat kongsi-kongsi. Sebab tu apa-apa aku rela usaha dan beli sendiri. Takda nak pinjam barang orang. Bukan aku bongkak. Tapi aku tak biasa. Aku takut kalau aku rosak kan barang tu ke. Orang yang bagi pinjam tu cerita belakang ke kan. Tu yang aku tak suka. Dan aku dah terbiasa sikap nie dari kecik sampai besar.

Mula-mula kasut. Aku simpan diambil. Aku ambil balik dia ambil lagi. Sampai kan satu masa aku tak sedar dah kasut tu dah jadi harta dia buat pakai hari-hari. Okey lagi. Lepas tu beg. Aku beriya ingat my bro pakai beg tu. Berhujan aku still pakai beg sandang aku. Sebab beg belakang aku takda. Bila aku nak outstation baru aku find out that beg tu telah dipakai HARI-HARI buat pergi sekolah. Ape perasaan ko? Aku tau lah beg tu tak mahal mane tapi berharga lah jugak bagi aku. Senang untuk penunggang motorsikal macam aku nie kalau nak bawa lappy ke ape kan.

Lepas aku ambil beg belakang aku balik, balik dari outstation aku tengok beg lain pulak takda. Aku malas nak bising-bising. Lepas aku mandi (balik dari outstation) aku tengok beg tu ada dah. Barang dalam tu pun dah diletakkan balik. Kelmarin lepas aku balik kerja, aku tengok beg tu dah takda dah sampai sekarang. Okey, berdiam diri lagi.

Semalam pulak aku balik entah kenapa rasa bengang je. Lantai bilik aku BERPASIR. Sapa pulak yang masuk bilik aku pakai kasut kan. Haaa? Aku dah lah pantang lantai berpasir nie. Lagi-lagi kat bilik. Tempat aku nak sembahyang. Sakit hati. Pasir tu banyak depan cermin besar aku. So, aku beranggapan orang tu pakai kasut dan belek diri depan cermin lah. Okey lagi..

Aku ambil towel nak mandi. Aku tercium perfume kat towel aku.. Apehal lak kan? Aku rasa nie memang perfume aku. Tak penah pulak aku sembur perfume atas angin sampai boleh melekat kat towel aku yang tersidai. Sakit nya hati. Okey, orang itu pakai kasut masuk bilik aku, pakai perfume aku lepas tu belek-belek muka depan cermin. KEPALA TENGKORAK KO..!!! 

Aku beli barang bukan untuk senangkan orang lain.